mutakhir

Polis panggil pihak berkaitan buku hina Jata Negara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS akan memanggil individu yang dikaitkan dengan penerbitan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung penerbitan buku itu dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima beberapa laporan polis dan kertas siasatan juga sudah dibuka.

"Mereka yang terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen berhubung sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Malah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

"Kementerian Dalam Negeri juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

"Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Menurutnya, perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 1:25pm
d