mutakhir

Bot karam, APMM Kudat selamatkan empat pemancing

Oleh Juwan Riduan

EMPAT pemancing diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pitas, Kudat, selepas bot dinaiki mereka karam, Sabtu lalu.

Empat mangsa iaitu Moksin Asing, 52, Muslimin Adau, 52, Mohd Rafi Mohd Rasit, 46, dan Julmat Mamat 43, terkandas di kawasan berkenaan selepas bot dinaiki mereka karam.

Pengarah APMM Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerima panggilan kecemasan jam 6.10 pagi daripada ahli keluarga seorang daripada pemancing.

Katanya, pemanggil memaklumkan bapa saudaranya bersama tiga mangsa lain terkandas di perairan Pitas apabila bot dinaiki karam akibat ombak kuat dan bergelora.

"Bot peronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin segera diatur gerak ke tempat kejadian selepas laporan diterima.

"Angin kencang dan laut bergelora pada mulanya menyebabkan sedikit kesukaran untuk mengesan lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Boon berkata, mangsa yang terkandas berjaya ditemui pada kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Pulau Gusung Malanta, Pitas.

Katanya, semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan seterusnya didaratkan di Jeti Dataran Bengkoka, Pitas.

Boon menasihatkan semua komuniti maritim supaya berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 1:30pm
d