mutakhir

Operasi mencari seorang lagi mangsa diteruskan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR), R Vigneis, 22, yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam, diteruskan hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi giat dijalankan kira-kira 60 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

"Operasi dijalankan secara pencarian di permukaan diketuai Ketua Zon 3 Manjung Shazlean Mohd Hanafiah.

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum ditemui," katanya.

Menurutnya, SAR turut membabitkan pasukan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Panjang.

Harian Metro semalam, melaporkan mangsa hilang manakala rakannya ditemui lemas selepas mandi di pantai berkenaan.

Rakannya, S Emmanuel Raj, 21, ditemui jam 6.55 petang pada hari kejadian disahkan meninggal dunia pada 7.20 malam.

Kedua-dua mangsa terbabit datang ke pantai berkenaan bersama enam rakan lain.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 1:35pm
d