mutakhir

12 keluarga berdepan risiko tanah runtuh, banjir lumpur

Oleh Ramli Ibrahim

"KITA tidak boleh tangguh lagi kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk dan perlu di atasi segera," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah masalah keselamatan 12 keluarga di Perumahan Kekal Baharu (PKB) di Kampung Simpang Pulai, dekat Gua Musang yang banjir berdepan risiko tanah runtuh.

PKB yang dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga turut dilanda banjir lumpur.

"Saya akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan bagi mengatasi masalah yang dialami penduduk sejak empat tahun lalu.

"Saya tengok sendiri risiko tanah runtuh itu dan bimbang keselamatan 12 keluarga terbabit apabila hujan lebat," katanya ketika melawat lokasi hari ini.

Semalam, 12 keluarga penduduk di PKB meluahkan kebimbangan berdepan banjir lumpur apabila hujan lebat, serta tanah runtuh kerana bukit yang terletak lima meter daripada kediaman mengalami rekahan teruk.

Mohd Syahbuddin berkata, puluhan pokok getah yang berada di puncak bukit juga semakin condong dan dikhuatiri menghempap kediaman bila-bila masa.

Katanya, langkah segera yang perlu diambil adalah membina semula jalan dan sistem perparitan yang mampu memberi pengaliran air dengan cepat.

"Bukit yang berlaku hakisan itu perlu dibina sekatan konkrit supaya dapat menyekat lumpur," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 2:18pm
d