mutakhir

Sudahlah lewat bayar gaji, dipotong pula...

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"SAMPAI bila nasib kami ditindas? Kami perlu menyara dan beri keluarga makan".

Itu luahan seramai 21 pekerja pembersihan di lima sekolah di daerah Sabak Bernam yang mendakwa sebuah syarikat kontraktor gagal membayar gaji dalam tempoh ditetapkan sejak Mei lalu.

Mereka mendakwa, majikan memotong gaji yang diterima di kalangan pekerja sehingga 20 peratus.

Pekerja yang mahu dikenali sebagai Rokiah, 50, berkata, masalah itu memberi tekanan kepadanya lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Kata Rokiah, dia sepatutnya menerima gaji bagi bulan Mei melalui serahan tangan pada 7 Jun lalu, namun syarikat kontraktor membayarnya 24 Jun lalu.

"Ikut undang-undang, syarikat perlu membuat pembayaran seperti yang tertera di borang perjanjian.

"Dalam tempoh sebulan lebih, pekerja tidak dibayar gaji sampai menjejaskan sumber pendapatan. Bayangkan macam mana saya sekeluarga buat persiapan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya yang juga ibu tunggal.

Rokiah berkata, selain masalah lewat terima gaji, dia dan pekerja lain mendakwa dikenakan denda dengan pemotongan gaji 20 peratus.

"Sudahlah lewat dapat gaji, syarikat pula memotong (gaji) dengan alasan pihak sekolah tidak berpuas hati dengan pihak syarikat yang tidak menghantar peralatan mencukupi. Dari situ, macam mana kami nak buat kerja?" katanya.

Sementara itu rakannya, Ayuni (bukan nama sebenar), 34, berkata, dia yang menanggung lima anak masih bersekolah kesal dengan tindakan syarikat terbabit yang lewat membayar gaji.

"Saya hilang sabar apabila gaji diterima sebanyak RM 973 pada Mei lalu dipotong.

"Sebelum ini, pernah gaji dipotong tetapi dalam kadar yang sedikit. Tetapi, kali ini dah melampau dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan bulanan," katanya.

Dalam pada itu, nasib pekerja terbabit mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Rizam Ismail.

Rizam berkata, beliau bersimpati dengan nasib mereka dan berharap syarikat kontraktor terbabit menyelesaikan masalah itu segera.

"Kita minta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam campur tangan dalam masalah ini bagi memastikan kebajikan pekerja mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, jurucakap syarikat kontraktor ketika dihubungi memberitahu, perkara itu dalam tindakan dan berusaha menyelesaikannya dengan kadar segera.

"Kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada penyelia dan membuat semakan melalui PPD Sabak Bernam bagi memastikan kebajikan pekerja diutamakan," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 2:33pm
d