mutakhir

JPS mohon RM400,000 atasi hakisan pantai

Oleh Hassan Omar

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka memohon RM400,000 daripada kerajaan negeri bagi kerja pembaikan pantai yang terhakis teruk di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Alor Gajah.

Timbalan Pengarahnya, Zulfazlie Mukhlas berkata, peruntukan itu bakal digunakan untuk membina tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 100 meter di kawasan terjejas teruk dan mengancam chalet serta keselamatan penghuninya.

Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan selepas jurutera jabatan itu menjalankan kajian dan mencadangkan kaedah bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang berpunca daripada ombak besar sejak awal bulan ini.

"JPS bercadang membina tembok penahan ombak sebagai kaedah terbaik untuk mengatasi masalah hakisan dan menyelyusu amatkan pantai daripada musnah.

"Tembok penahan ombak sedia ada bersebelahan dengan chalet yang terjejas teruk itu dicadangkan disambung lagi sepanjang 100 meter untuk menyelamatkan pantai daripada mengalami hakisan lebih teruk," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, Februari lalu, JPS menyiapkan kerja membina tembok penahan ombak di hadapan Chalet Keluarga Ria di kampung itu berikutan hakisan pantai serius sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, hakisan pantai melarat ke Chalet Atie Atira yang bersebelahan dengan Chalet Keluarga Ria berikutan ribut berpunca daripada angin selatan mulai awal bulan ini.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 2:43pm
d