mutakhir

Operasi SAR kesan 4 pemancing diteruskan

Oleh Nor Amalina Alias

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari empat lagi pemancing yang hilang dalam kejadian bot terbalik di Bachok, diteruskan pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, pihaknya percaya mangsa yang masih hilang terperangkap di dalam rumah bot yang dinaiki kumpulan itu untuk memancing dan mencandat sotong.

Katanya, bot berkenaan dipercayai hanyut kira-kira 15 batu nautika daripada Jeti Perikanan Kemasin.

"Operasi pagi ini akan dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM ) dengan menggunakan kaedah selaman.

"Bilik operasi kita akan buka sehingga operasi menyelamat selesai," katanya ketika ditemui di Pengkalan Kemasin, di Bachok, hari ini.

Katanya, operasi SAR turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya akan membuat selaman di bawah bot yang dinaiki mereka kerana dipercayai kemungkinan mangsa yang masih hilang berada di kawasan sekitar bot itu.

Katanya, bot berkenaan tidak tenggelam sebaliknya hanyut di laut, namun sudah diapit bot lain bagi mengawal pergerakan bot berkenaan.

"Bot yang digunakan adalah jenis bot bubu jadi berisiko untuk kita buat selaman malam tadi, jadi hari ini operasi selaman akan dijalankan bagi mencari mangsa," katanya.

Malam tadi, sebuah bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok.

Kejadian 8.30 meragut empat nyawa, empat lagi pula masih belum ditemui,

manakala 12 lagi selamat.

Berita berkaitan:

  • Empat pemancing maut, empat hilang
  • Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 8:45am
    d