mutakhir

Mengaku tidak bersalah tipu RM1.152 juta [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

SEORANG jurujual didakwa atas lima pertuduhan menipu skim pelaburan membabitkan jumlah kerugian RM1.152 juta di Mahkamah Majistret Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh, Lau Kah Wing, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Kah Wing yang hadir berbaju putih didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi berasingan sekitar Johor Bahru, antara 24 Jun 2019 hingga 18 Februari lalu.

Tertuduh didakwa memperdayakan lima individu supaya menyerahkan sejumlah wang, berjumlah RM160,000 hingga RM374,000, dengan dakwaan boleh menggandakan wang terbabit selain memberi bonus pengisian minyak.

Pertuduhan di buat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh turut didakwa bersama seorang penganggur, Kuang Jian Ming, 24, cuba menipu seorang lelaki, pada 12 tengah hari, 18 Jun lalu di sebuah pasar raya di Johor Bahru.

Kesalahan boleh di hukum mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jiang Ming diwakili Peguam, Goh Sze Han dan masing-masing diikat jamin RM4,500 seorang.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 3:07pm
d