mutakhir

Wanita antara ditahan kerana menyamun

Oleh Nor Farhani Che Ad

TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian ragut di kawasan bangunan terbiar berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kulim pada 24 Jun lalu.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis di daerah Kulim antara 4 petang sehingga 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 46 tahun sedang berjalan untuk ke pejabatnya di Lebuh Bandar, Bandar Putera, Kulim pada 1 tengah hari.

"Beg yang dibimbit mangsa tiba-tiba diragut oleh dua individu masing lelaki dan wanita yang menaiki sebuah motosikal.

"Akibat itu, mangsa kehilangan barangan berupa telefon bimbit, kunci kereta, set kunci rumah dan pejabat, selain cedera di lengan kiri kerana berlaku pergelutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, siasatan awal mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan menjual telefon bimbit mangsa kepada seorang lagi suspek.

"Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah kerana mencuri.

"Mereka direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 3:30pm
d