mutakhir

Suspek langgar polis ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

CUBAAN dua lelaki yang menaiki motosikal melarikan diri ketika cuba ditahan polis gagal apabila mereka ditahan 15 minit kemudian selepas melanggar anggota polis di Damansara Damai, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam, anggota unit peronda polis cuba menahan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, semasa penahanan dibuat, kedua-dua suspek melarikan diri dan melanggar salah seorang anggota polis yang berada di luar kereta peronda.

"Anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan kanan sebelum dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Susulan kejadian itu, polis menahan mereka pada jam 8.30 malam dan merampas motosikal terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 3:47pm
d