mutakhir

'Tindakan ubah suai Jata Negara biadab'

Oleh BERNAMA

TINDAKAN mengubah suai Jata Negara adalah perbuatan sangat biadab dan tidak boleh dimaafkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, mereka yang terbabit wajar dikenakan hukuman berat tanpa kompromi kerana Jata Negara adalah simbol tertinggi untuk sesebuah negara.

"Saya nak menyatakan rasa kesal amat sangat kerana dalam soal simbol kebesaran negara, bukan sahaja menghormatinya, malah untuk menggunakan simbol kebesaran negara ini juga perlu tertib dan penuh etika. Misalnya, Jata Negara kena digunakan penuh dan apabila dipamerkan mesti diletakkan di atas sekali dan tidak ada simbol lain boleh diletak… apa lagi meletak wajah entah siapa.

"Pada saya ini perbuatan sangat biadab dan tidak boleh kita kompromi dengan keadaan sedemikian rupa, saya yakin polis akan menyiasat dengan rapi dan saya harap siapa saja bersalah itu akan diberi hukuman berat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Salong, Pekan, hari ini.

Beliau berkata, semua rakyat Malaysia perlu menghormati Jata Negara, sama seperti menghormati Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, katanya, alasan penerbit buku kontroversi itu, Chong Ton Sin, yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja sebagai satu alasan tidak munasabah.

Buku menggunakan visual mirip Jata Negara, mendapat perhatian kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara selepas perkara itu tersebar di media sosial.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pembinaan 10 menara komunikasi baharu bagi perkhidmatan 4G di DUN Chini akan dapat memberi liputan Internet lebih baik kepada penduduk sekitarnya.

Beliau berkata, inisiatif untuk menambah baik capaian Internet dibuat berdasarkan keputusan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di 15 kawasan di DUN Chini pada 27 Mei lalu yang mendapati capaian Internet di situ sangat rendah.

"Selain membina menara baharu, sebanyak 11 menara sedia ada akan dinaik taraf daripada 2G dan 3G kepada 4G. Untuk perkhidmatan jalur lebar tetap pula, 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik.

"Inisiatif penaiktarafan akan dilaksanakan Telekom Malaysia Bhd ini dijangka siap pada akhir 2021," katanya.

Berita berkaitan

10 laporan polis kes hina Jata Negara

Tidak kompromi tindakan hina Jata Negara

Polis panggil pihak berkaitan buku hina Jata Negara

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 4:25pm
    d