mutakhir

17 anggota polis selesai mengundi awal

Oleh BERNAMA

PUSAT pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini, Pekan, ditutup tepat 12 tengah hari, hari ini.

Pengundian awal itu membabitkan 17 daripada 18 pengundi anggota polis yang layak mengundi, hari ini.

Proses pengundian awal berlangsung selama empat jam bermula 8 pagi turut disaksikan ejen calon bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari mengundi Sabtu ini di pusat penjumlahan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai.

Turut meninjau perjalanan proses pengundian awal ialah Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, Pegawai Pengurus PRK Chini Datuk Zaliza Zulkifli serta tiga calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Zaliza pada sidang media memaklumkan proses pengundian awal itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

"Saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP ditetapkan dalam proses undi awal PRK Chini. Ia berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 4:44pm
d