mutakhir

Gagal edar dadah guna jalan laut

Oleh Asrol Awang

LAPAN lelaki tempatan ditahan bersama dadah disyaki syabu dan heroin bernilai RM61,000 dalam satu operasi di Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Rompin, Sabtu lalu.

Suspek berusia antara 25 dan 49 tahun itu ditahan dalam Ops Makmur oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 3 petang.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Amran Daud berkata, agensi berkenaan turut menyita sebuah bot gentian kaca digunakan empat suspek terbabit.

Katanya, kejayaan itu hasil risikan kegiatan pengedaran dadah di kawasan persisiran muara Endau, Mersing, Johor oleh anggotanya yang membuat rondaan menggunakan bot kilat sebelum terserempak empat lelaki menaiki sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik empat suspek terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri, tetapi gagal dan berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa dua plastik hitam mengandungi 15 bungkusan kecil di dalamnya dan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 238.5 gram bersama wang tunai RM3,350.

"Soal siasat dijalankan terhadap empat suspek membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Endau, Mersing dan tangkapan membabitkan empat lagi suspek.

"Di rumah terbabit, kami merampas 388.85 gram dadah disyaki syabu dan heroin serta wang tunai RM600," katanya kepada pemberita di ibu pejabat APMM Pahang, di Kuantan, hari ini.

Amran berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah seberat 627.35 gram termasuk bot gentian kaca dianggarkan RM87,000.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami percaya sindiket ini bermula di Johor dan menyeludup masuk dadah ke Pahang melalui jalan air untuk pasaran di daerah Rompin.

"Tangkapan ini adalah kes pertama kami membabitkan dadah dan difahamkan, dadah terbabit untuk dijual kepada 50 hingga 100 orang dan sasaran mereka adalah nelayan.

"Kami sedang menjejaki pembekal utama yang kini dipercayai berada di Mersing dan Kluang, Johor," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi APMM Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 4:46pm
d