mutakhir

Hina Jata Negara - lucutkan kerakyatan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Penulis buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia' yang menghina Jata Negara wajar dilucutkan kerakyatan, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang Mohd Khairul Azlan.

Menurut Mohd Khairul, kerajaan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya melepaskan individu biadap ini setiap kali mereka memohon maaf selepas melakukan sesuatu kesalahan.

"Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu terus ambil tindakan segera...ini perbuatan serius, biadap," katanya ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, laporan polis dibuat terhadap penulis buku terbabit oleh Pemuda UMNO, PAS, MCA dan MIC, selain tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Johor Volunteer, Pertubuhan Kebajikan Ummah Al-Mustakim dan Gerakan Belia 4B Pasir Gudang.

Laporan polis dibuat berkaitan lukisan mirip Jata Negara yang diubah suai mempamerkan seorang wanita yang kurang sopan di atas bulan bintang, bayi serta dua harimau selain menambah seekor buaya di bahagian bawahnya.

"Kita anggap ini sebagai perbuatan serius selain minta kerajaan ambil tindakan seperti melucutkan kerakyatan mereka yang biadap ini kerana sering kali berlaku kes begini, berulang kali bila berlaku, mereka minta maaf, kita tidak setuju," katanya.

Terdahulu, buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong menimbulkan kontroversi selepas gambar pada kulit buku terbitannya dikatakan menghina

logo Jata Negara dan tersebar dalam media sosial.

Berikutan itu, penerbit buku berkenaan, Chong Ton Sin yang juga pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya memohon maaf pada

hari ini dan menyatakan tidak berniat untuk menghina logo Jata Negara dan tidak menyangka perkara itu akan menjadi isu besar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Polis menerima tiga laporan yang dibuat pada hari ini membabitkan Balai Polis Pasir Gudang, Balai Polis Scientex dan Balai Polis Seri Alam.

"Siasatan sudah dijalankan oleh IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur kerana ada laporan polis sudah buat di sana," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 7:37pm
d