mutakhir

JAS Terengganu keluarkan 56 kompaun

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengeluarkan 56 kompaun dengan nilai keseluruhan RM112,000 kerana kesalahan berkaitan pengendalian dan pengurusan bahan buangan dalam Ops Gempur di daerah Kemaman.

Semua kompaun itu dikeluarkan ke atas 25 premis di kawasan perindustrian Teluk Kalong dan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dalam tempoh tiga hari, bermula kelmarin.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, sebanyak 81 premis diperiksa di dua lokasi berkenaan sebelum 56 kompaun dikeluarkan ke atas 25 premis selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak dilakukan berkaitan pengendalian dan pengurusan bahan buangan.

"Kami harap pelaksanaan operasi ini memberi mesej jelas bahawa JAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya industri supaya mereka sentiasa mematuhi kehendak perundangan.

"Kami mahu pihak berkaitan memandang serius isu alam sekitar dan premis yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar hasil daripada operasi ini akan dipantau dengan lebih kerap lagi oleh JAS.

"Pihak berkaitan dikehendaki melaksanakan dan membuktikan langkah pembaikan dilaksanakan dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Terengganu, hari ini.

Ramli berkata, seramai 26 pegawai penguat kuasa JAS Terengganu dan cawangan Kemaman turut serta dalam operasi berkenaan bertujuan memastikan pihak industri sentiasa bersedia untuk mematuhi kehendak perundangan alam sekitar ketika menjalankan operasi di premis masing-masing.

Katanya, ia bertujuan menunjukkan keseriusan dan komitmen JAS dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 7:55pm
d