mutakhir

Tragedi mandi Sungai Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KANAK-KANAK lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama keluarganya di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai dekat Sungai Siput, hari ini.

Mangsa, Muhammad Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, dikatakan mandi di sungai itu bersama abang kembarnya serta kakak berusia tujuh tahun, selain dua saudara lain dengan ditemani ibu saudara berusia 27 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.06 petang.

Menurutnya, sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dibantu BBP Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi membabitkan pencarian di permukaan air serta tebing sungai menggunakan bot Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan bantuan anggota dari BBP Kuala Kangsar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pencarian awal dilakukan dalam lingkungan 700 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut sebelum ia dilanjutkan kepada tujuh kilometer berikutan arus deras.

"Operasi pencarian akan diteruskan sehingga malam, tetapi bergantung kepada kadar pencahayaan dan cuaca," katanya ketika ditemui di pos lokasi pencarian, hari ini.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 8:10pm
d