mutakhir

Di luar spa, di dalam tawar khidmat pelacur asing

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SEBUAH premis yang menjalankan aktiviti pelacuran warga asing dan berselindung di balik aktiviti spa di pusat bandar Parit Buntar, diserbu pihak berkuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, premis itu diserbu dalam Ops Noda pada jam 9.05 malam yang turut disertai beberapa anggota dari Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, hasil serbuan itu enam wanita dipercayai pelacur masing-masing dua warga Indonesia, Thailand dan Filipina.

Katanya, turut ditahan seorang pelanggan lelaki warga Bangladesh dan penjaga premis.

"Sewaktu serbuan, terdapat seorang pelanggan dan penjaga premis berkenaan berada di kaunter dan pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan enam wanita dipercayai pelacur.

"Turut ditemui masing-masing dua botol minyak urut, tuala putih dan coklat; tisu putih dan kondom serta wang pelbagai dominasi berjumlah RM530," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti pelacuran dan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Katanya, mereka direman selama 14 hari bermula hari ini.

"Difahamkan premis berkenaan menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran sekitar RM170 dan dipercayai beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pihak MDK juga turut mengeluarkan satu notis kompaun kepada premis kerana beroperasi tanpa lesen.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 1:55pm
d