mutakhir

Kes denggi di Negeri Sembilan naik 22 peratus

Oleh Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak 22 peratus iaitu 1,498 kes bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini setakat 27 Jun lalu, berbanding 1,228 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, bagi minggu ke-26 antara 21 hingga 27 Jun sahaja, sebanyak 82 kes direkodkan.

"Berdasarkan laporan diterima, menunjukkan peningkatan 22 peratus kes denggi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Bagaimanapun tiada kes kematian terbaharu denggi dilaporkan di Negeri Sembilan pada minggu semasa menjadikan kumulatif kematian denggi setakat ini sebanyak enam kes iaitu menyamai kadar kematian direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun tiada kes kematian baharu, namun rekod berkenaan menunjukkan kes denggi di negeri ketika ini membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai taburan kumulatif kes denggi sehingga tempoh berkenaan, Veerapan berkata, daerah Seremban merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,263, diikuti Rembau (56), Port Dickson (55), masing-masing 43 bagi Jempol dan Tampin serta 19 kes bagi Kuala Pilah dan Jelebu.

Beliau berkata, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah sebanyak 30 yang kesemuanya di daerah Seremban.

Menurutnya, aktiviti pencegahan dan kawalan oleh pelbagai agensi berkaitan khususnya Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) sedang dijalankan walaupun terdapat Perintah Kawalan

Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula dari 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Katanya, aktiviti mencari dan memusnah tempat pembiakan Aedes ditumpukan di premis kediaman dan kawasan persekitaran.

"Selain itu, aktiviti menghapuskan jentik-jentik dan semburan pengasapan serta promosi kesihatan turut digerakkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan Jabatan Kesihatan Daerah.

"Orang ramai perlu memberikan kerjasama dengan melaksanakan pembersihan di kawasan kediaman masing-masing sekurang-kurangnya selama 10 minit setiap minggu, bagi menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi kepada pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 2:12pm
d