mutakhir

Pasangan kembar pakat 'lalok'

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEPASANG kembar lelaki ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Singkir, Badong, Yan, hari ini.

Mereka yang berusia 21 tahun ditahan sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Daerah Yan dalam operasi selama sejam bermula 9 pagi, hari ini.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, ketika serbuan, seorangnya didapati terlentok di atas kerusi meja makan dipercayai kesan pengambilan dadah, manakala seorang lagi berada di dalam sebuah bilik bersama peralatan menagih dadah.

"Soal siasat mendapati mereka dikatakan terbabit dengan penagihan dadah jenis syabu sejak berusia 18 tahun.

"Mereka juga dikatakan saling bekerjasama bagi mendapatkan bekalan dadah dari kawasan sekitar dengan harga antara RM50 hingga RM100 setiap kali pembelian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, pemeriksaan di rumah terbabit turut menemui beberapa plastik dipercayai digunakan untuk kerja membungkus dadah, namun, pihaknya tidak menjumpai sebarang jenis dadah.

Beliau berkata, pasangan kembar terbabit dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 3:13pm
d