mutakhir

Sempat cerita pada ibu sebelum ajal

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JURUKIMPAL maut dipercayai akibat dibelasah tiga lelaki di Kampung Bukit Gasing, Marang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dikenali Ahmad Farid Mohammad, 28, dikatakan sempat menceritakan kepada ibunya, Zaleha Muda, 55, sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dipukul suspek di kawasan luar rumah sebelum mendapatkan pertolongan ibunya yang ketika itu berada di dalam rumah.

"Ibu mangsa yang pergi ke arah mangsa menemui anaknya dalam keadaan lemah, tetapi sempat memaklumkan ibunya bahawa dia dipukul tiga lelaki termasuk dua daripadanya dikenali.

"Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, mangsa terus rebah dan tidak sedarkan diri sebelum ibunya menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Dris ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan awal di lokasi tidak menemui sebarang objek yang digunakan dalam kejadian itu dan pihaknya percaya mangsa dipukul menggunakan tangan.

"Identiti kesemua suspek sudah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 3:26pm
d