mutakhir

Buka pintu sempadan: Malaysia-Singapura belum capai kata sepakat [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PROSES rundingan mengenai pembukaan pintu sempadan antara Malaysia dan Singapura masih belum mencapai kesepakatan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sehingga kini Singapura masih belum membuka pintu sempadan kepada rakyat Malaysia masuk ke negara berkenaan.

Katanya, kerajaan Singapura turut menetapkan syarat supaya mempunyai sijil 'fit to travel' dan keputusan saringan Covid-19 untuk masuk ke negara itu.

"Kita akan lihat balik syarat itu namun masih tertakluk kepada perbincangan antara Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Singapura kerana mereka masih lagi belum melonggarkan kemasukan rakyat kita ke negara mereka misalnya 250,000 pekerja kita yang patutnya berulang alik ke Singapura.

"Kita masih menunggu mereka melonggarkan kemasukan rakyat kita ke Singapura," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan seorang lelaki yang juga peserta program Malaysia Rumah Keduaku yang tidak dibenarkan masuk kerana tidak membuat saringan Covid-19.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sememangnya membenarkan peserta program itu masuk ke negara ini tanpa perlu dikuarantin, malah Pusat Kuarantin di Johor Bahru juga sudah ditutup.

Namun, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum masuk ke negara ini.

Beliau berkata, negara juga sedia memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia masuk ke negara ini tertakluk kepada keputusan perbincangan kedua-dua kementerian itu.

"Saya harap ada timbal balas dari segi keputusan, kita longgarkan rakyat Singapura ke Malaysia, jadi mereka juga perlu melonggarkan dan mesti membenarkan rakyat kita masuk ke negara mereka.

"Hubungan dua hala ini mesti sama-sama mendapat faedah," katanya.

Beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera supaya pintu sempadan dua negara jiran ini dibuka dan rakyat bebas masuk tanpa sekatan, kuarantin dan syarat ketat.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 3:37pm
d