mutakhir

Asrama cukup kapasiti boleh operasi seperti biasa [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEMBUKAAN semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing selepas mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata, sudah tentu ada dalam kalangan ibu bapa atau penjaga bagi murid di sekolah berasrama yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka apabila tinggal di asrama kelak.

"Usah khuatir, kami sudah mendapatkan pandangan daripada KKM mengenai langkah-langkah keselamatan di asrama sekolah.

"Asrama yang mempunyai kapasiti mencukupi selepas mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa," katanya pada Sidang Media Khas di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama.

"Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat atau double decker.

"Kami sudah meneliti perkara ini bersama-sama KKM dan mengikut saranan pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja.

"Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah," katanya.

Mohd Radzi berkata, prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.

"Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun lalu.

"Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 5:14pm
d