mutakhir

Padah pecah rumah pegawai polis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang ditahan kerana memecah masuk dan mencuri barang milik pegawai polis di Taman Puyu, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Jamaluddin Elias bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam tadi.

Katanya, serbuan pada jam 7.30 malam itu berdasarkan maklumat dan risikan polis di sebuah rumah pangsa di sekitar bandar raya ini.

"Hasil tangkapan itu, polis menemui semula 11 utas jam tangan tangan berjenama dan sebuah tabung mengandungi duit syiling.

"Bagaimanapun seutas gelang emas milik isteri mangsa setakat ini belum ditemui," katanya sambil menambah serbuan dilakukan susulan kes pecah rumah pegawai polis, Sabtu lalu.

Mohd Redzuan berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methampetamine, selain mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes narkotik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 5:28pm
d