mutakhir

Suka nak datang sekolah

Oleh Malik Muhamad

"GEMBIRA dapat hadir ke sekolah kerana lama dah tak datang, dapat jumpa kawan-kawan dan cikgu. Saya juga dapat belajar dengan cikgu.

"Lagipun tak rasa bimbang kerana cikgu kabo (maklum) peraturan seperti basuh tangan, jaga jarak ketika berjalan dan meja di dalam kelas pun ada jarak."

Begitu kata murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Nur Intishar Faqihah Asrul Effendy, 6, ketika ditemui sebaik tamat sesi persekolahan, hari ini.

Bapanya Asrul Effendy A Rahman, 43, berkata dia memuji persiapan pihak sekolah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum membenarkan murid masuk ke dalam kelas.

Menurutnya, pihak sekolah juga sudah memanggil ibu bapa untuk diberi penerangan sebelum sekolah dibuka semula sekali gus memberi kefahaman jelas sehingga anak mereka juga gembira untuk ke sekolah.

"Anak saya begitu teruja nak datang ke sekolah dengan persiapan dua hari sebelum prasekolah dibuka termasuk bangun awal pagi tadi.

"Lagipun dengan SOP yang diuruskan pihak sekolah yang diketuai guru besar, Ahmad Zulhaidi Alias, saya tidak begitu bimbang untuk hantar anak ke sekolah," katanya.

Murid lain Aliya Dayani Sanusi, 6, berkata dia juga gembira dapat hadir ke sekolah selepas tiga bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Rasa 'best' kembali ke sekolah, dapat jumpa kawan-kawan dan cikgu serta dapat belajar.

"Pada mulanya ada juga rasa bimbang nak datang sekolah, tapi bila lihat kawan dan ikut peraturan yang cikgu beritahu menyebabkan rasa bimbang hilang," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:56pm
d