mutakhir

Buangan elektrik dan elektronik secara haram ke Malaysia

Oleh Ruwaida Md Zain

PELABUHAN KLANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan satu unit kontena mengandungi buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang tiba di sini 7 Jun lalu dengan kapal IBN Al Abbar.

JAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, penahanan itu berikutan notifikasi yang diperoleh daripada Basel Action Network (BAN) sehari sebelumnya.

"Pemeriksaan pada 18 Jun 2020 mengesahkan kontena itu mengandungi e-waste sebagaimana dilaporkan.

"Siasatan JAS juga mendapati syarikat pengimport sama mengimport tiga unit kontena e-waste dari Amerika Syarikat iaitu pada 16 April, 14 Mei dan 3 Jun lalu di mana semua kontena itu ditahan JKDM," katanya.

Menurut JAS, pihaknya sudah mengarahkan semua kontena dihantar pulang ke negara asal dan sehingga 26 Jun, sebanyak dua daripada empat kontena berjaya dihantar pulang.

Katanya, notis dikeluarkan kepada pemilik syarikat serta dua syarikat perkapalan yang bertanggungjawab membawa masuk kontena itu.

"Pemeriksaan di alamat premis syarikat pengimport itu mendapati ia tidak menduduki alamat pejabat seperti dinyatakan.

"Namun pemilik syarikat terbabit berjaya dikesan berdasarkan maklumat dalam dokumen pengimportan sebelumnya.

"Pengimportan keempat-empat kontena ini didapati dilakukan tanpa mendapat kelulusan dari pihak berkuasa Konvensyen Basel di Malaysia iaitu JAS," katanya.

Menurut JAS, pihak Competent Authority di Amerika Syarikat juga dimaklumkan mengenai pengimportan haram ini walaupun negara berkenaan bukan ahli kepada Konvensyen Basel.

"Kes ini salah satu dari 23 kes pengimportan haram buangan terjadual yang berjaya dikesan dan dipatahkan oleh JAS dengan kerjasama JKDM dan pihak berkuasa pelabuhan bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Jun lalu," katanya.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menegaskan pengimportan apa-apa buangan terjadual memerlukan kelulusan dari JAS.

"Jika sabit kesalahan, hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan selaras peruntukan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan terjadual hendaklah juga memenuhi sepenuhnya prosedur yang ditetapkan di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

"KASA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi pemprosesan dan pelupusan buangan terjadual dari negara luar tanpa sebarang kebenaran," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan tegas akan diteruskan terhadap syarikat yang didapati menjalankan pengimportan buangan terjadual secara haram ke Malaysia termasuk mengenalpasti dalang dan premis yang digunakan bagi memproses bahan diimport itu.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 7:24pm
d