mutakhir

Operasi SAR tertumpu di laut

Oleh Nor Amalina Alias

TIGA mangsa bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok disahkan tiada dalam bot sekali gus operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu sepenuhnya di lautan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan di dalam dan bahagian luar bot.

Justeru, katanya, pencarian dan selaman di bot berkenaan dihentikan dan semua agensi SAR kini ditugaskan di lautan, pesisir pantai mahupun sempadan perairan Thailand.

"Kita dah buat dua kali selaman dan tiada petunjuk baru ditemui, bot juga tidak besar, jadi kita rumuskan mangsa sah tiada dalam bot dan kita teruskan pencarian di laut dan hentikan fokus ke bot.

"Malah, kita juga sudah memeriksa rumah kemudi, enjin bot dan kita boleh tengok dengan jelas keberadaan mangsa jika ada.

"Sebab itu kita buat keputusan memang tiga mangsa yang hilang tiada dalam bot dan hanyut di laut," katanya pada sidang media di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR di laut kini diperluaskan daripada 324 batu nautika kepada 351.6 batu nautika.

"Kita menggunakan kaedah 'parallel track' atau ulang-alik untuk pencarian dalam kawasan besar.

"Walaupun SAR ditamatkan pada 6 petang ini, tapi bagi aset di laut kita tetap bertugas 24 jam sehingga kesemua mangsa ditemui," katanya.

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga, hari ini turut dibantu polis termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan sukarela daripada nelayan tempatan.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Sufri Daud, 60, berkata sebaik mengetahui mangsa yang masih hilang tiada dalam bot terbabit, perasaannya bercampur baur antara gembira dan takut.

"Saya gembira jika tiada di bot, mungkin adik (Harun, 57) ada peluang selamatkan diri, namun risau memikirkan keluasan laut.

"Kalau ikutkan hati, kami nak dia masih hidup, kalau sudah tiada pun, kami harap (mayat) dia ditemui untuk disempurnakan supaya pusaranya bertanda, apa pun kami reda," katanya.

Selain Harun, dua lagi mangsa yang belum ditemui ialah Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 8:15pm
d