mutakhir

Balasan cederakan mangsa dengan parang

Oleh BERNAMA

PENGAWAL keselamatan dihukum penjara dua tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas penjaga stor menggunakan sebilah parang sehingga patah tangan kiri dan hidung, tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Zulfais's Mohd Fuad, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh tangkap pada 7 Mac tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ke atas S Prakash Kumar, 29, di tepi tangga di sebuah flat di Cheras, Kuala Lumpur pada 11 malam, 1 Disember 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh, tetapi Ahmad Zulfais's yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan ke atasnya.

"Saya merayu hukuman ringan kerana ibu saya baru sahaja meninggal dunia bulan lalu," katanya.

Berdasarkan fakta kes, berlaku pertengkaran antara Prakash dan Ahmad Zulfais's yang kemudian bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah parang.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 2:03pm
d