mutakhir

620 belum jalani saringan kedua Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 620 individu yang diperintah kuarantin di rumah masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saringan kali kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah adalah diwajibkan kepada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Menurutnya, polis sudah membuat 1,063 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kerajaan memohon kerjasama individu yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua supaya tampil berbuat demikian.

"Mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk maklumat lanjut. Jika masih gagal, polis akan mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM membuat saringan ke atas 8,535 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 10 Jun hingga semalam.

Katanya, 8,498 individu didapati negatif dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 37 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Semalam, seramai 724 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 dari Vietnam, Indonesia, Singapura, Qatar, UAE, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.

"Daripada jumlah itu, 723 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajid di kediaman mereka manakala seorang dibawa ke hospital," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 3:10pm
d