mutakhir

71 ditahan ingkar PKPP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 71 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 29 individu direman dan 42 lagi dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga membabitkan 12 pesalah.

"Selain itu, tangkapan turut membabitkan tujuh individu melakukan aktiviti refleksologi atau urut, aktiviti di kelab malam (4), aktiviti menyukarkan penjarakan sosial (34) dan aktiviti melanggar peraturan ditetapkan (14).

"Keseluruhannya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 67,229 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media laporan perkembangan harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-107 dan hari ke-22 PKPP, hari ini.

Berkaitan kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.

Beliau berkata, ia bertujuan mengelak daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, PDRM membuat 66 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara, semalam dan memeriksa 41,775 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutama di lorong tikus.

"PDRM berjaya menahan 16 warganegara asing di SJR Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan semua agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 3:24pm
d