mutakhir

Disajikan bau busuk setiap hari

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SABAN hari `disajikan' bau busuk najis dan sisa buangan haiwan ternakan selain sampah sarap yang sengaja dibuang ke dalam parit.

Ia menyebabkan kira-kira 100 penduduk di Kampung Perenggan, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hidup dalam keadaan tidak selesa susulan bau yang dihidu setiap hari.

Difahamkan, sisa buangan ternakan dan sampah sarap itu dipercayai dibuang ke dalam parit di dua lokasi sekitar kampung berkenaan iaitu di Jalan Kadman dan Jalan Sanusi Utara di sini, hingga menyebabkan air parit bertukar hitam dan berbau busuk.

Salah seorang penduduk, Mohd Maskuri Abdullah, 65, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga menyebabkan kehidupan mereka terganggu.

"Kami sudah tidak tahan dengan bau busuk yang datang dari bahan buangan itu (sampah sarap dan sisa haiwan) terutama pada waktu hujan.

"Sudahlah parit itu berhampiran tanah pertanian milik penduduk, pihak tidak bertanggungjawab pula ambil kesempatan buang bahan buangan mereka di sini,"katanya, semalam.

Maskuri mendakwa, dia dan penduduk kampung sudah mengadu masalah itu kepada pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah itu namun tiada tindakan diambil.

Sementara itu, rakannya, Ismail Abd Ghani, 55, berkata, dia dan penduduk kampung yang kerap melalui kawasan itu melahirkan kebimbangan sekiranya perkara itu berlarutan.

"Kami berharap masalah itu dapat diatasi dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kerana ia menyebabkan masalah kepada penduduk," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 3:36pm
d