mutakhir

Padah menyamar pegawai bank didenda RM3,500

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SANGGUP menipu dan menyamar sebagai pegawai bank, akhirnya seorang pekerja swasta menerima padah apabila dikenakan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, Negeri Sembilan.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ho Hon Meng, 25, selepas tertuduh mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibaca jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyembunyikan wang milik seorang wanita berjumlah RM1,220.15 kedalam akaun bank miliknya sendiri pada 18 Februari 2014.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada hari yang sama dengan curangnya turut menyembunyikan wang berjumlah RM769.92 juga milik wanita sama kedalam akaun bank miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Bahau dan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM1,500 bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara empat dan tiga bulan jika gagal membayar denda bagi kedua-dua kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghubungi wanita berkenaan dan menyamar sebagai pegawai bank sebelum memaklumkan mengenai hutang kad kredit milik seorang wanita yang juga seorang peniaga.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak di wakili peguam.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 4:32pm
d