mutakhir

Alhamdulillah, dapat permit sementara berniaga

Oleh Rosyahaida Abdullah

"TERIMA kasih Tan Sri (Annuar Musa). Walaupun lesen sementara, ia jauh lebih baik berbanding berniaga dalam keadaan ketakutan memikirkan disaman dan sebagainya," kata Abu Samah Abdullah, hari ini.

Abu Samah, 62, antara 80 penjaja di sepanjang Jalan 1/23E, Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur yang menerima surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, sepanjang kira-kira lima tahun berniaga di kawasan itu, dia pernah beberapa kali disaman gara-gara tidak memiliki permit sah.

"Bukannya saya tidak cuba (untuk mohon permit), tetapi mereka (DBKL) ketika itu membekukan pengeluaran permit untuk penjaja, pernah mereka cadangkan lokasi lain, namun tidak sesuai dengan pergerakan saya terhad.

"Hanya ini saja mampu saya lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup menyara dua lagi anak masih belajar, mujur isteri boleh memasak membolehkan kami mencari rezeki menjual makanan di sini.

"Kami akan memanfaatkan peluang diberi ini untuk berniaga mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan seperti had waktu beroperasi, penjagaan kebersihan dan sebagainya," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal susulan kaki kiri dipotong akibat masalah kesihatan.

Kelegaan turut dizahirkan peniaga, Nor Aslinda Azman, 43, yang menjual "corn dog" di tepi jalan terbabit sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia pernah beberapa kali memohon permit menjaja dengan DBKL, namun gagal menyebabkan aktiviti menjaja di situ terpaksa diteruskan demi membantu suami mencari rezeki buat keluarga.

"Sebelum ini, penjaja di sini cuma beberapa orang saja jadi DBKL pun datang sesekali saja, mereka beri amaran dan saya beri kerjasama sepenuhnya kerana sendiri memang menjaja tanpa kebenaran.

"Tetapi sekarang, permit diberikan ini walaupun sementara sudah cukup melegakan. Sekurang-kurangnya tidaklah kami gugup setiap kali nampak penguat kuasa berlegar di sini," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, inisiatif pemberian surat tawaran permit sementara itu adalah rentetan kunjungan beliau ke kawasan terbabit 10 hari lalu bagi melihat aktiviti penjaja di situ.

Bertujuan memberi peluang kepada rakyat mencari rezeki dan menambah pendapatan terutama menjelang pasca Covid-19, beliau bagaimanapun mengingatkan penjaja bahawa permit berkenaan bukan bermakna penjaja boleh berniaga secara bebas tanpa pematuhan terhadap SOP ditetapkan.

"Semua penjaja harus bersedia untuk mematuhi semua SOP PKPP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta garis panduan DBKL.

"Misalnya susun atur gerai perlulah mengambil kira penjarakan dan sistematik, pengendali makanan perlu memakai apron dan sarung tangan, pengurusan sampah baik, kawalan trafik lancar dan pelbagai perkara lagi.

"Jika peniaga di sini dapat buktikan pada DBKL mereka boleh patuhi segala SOP ini serta tidak menyalah guna permit diberikan (seperti menjual permit kepada pihak lain), mungkin kita boleh pertimbangkan (pemberian permit) di tempat lain," katanya.

Difahamkan, lesen penjaja gerai tepi jalan dibekukan DBKL sejak 1 Januari 2016 bagi membendung kegiatan penjaja jalanan tidak berlesen.

Bagaimanapun, DBKL memperkenalkan lesen penjaja terhad bermasa pada tahun lalu yang mula dikeluarkan sejak 15 April (2019) membabitkan tempoh permit antara tiga hingga enam bulan.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 4:59pm
d