mutakhir

Permintaan lemang Kijal kembali meningkat

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SELEPAS jualan lemang merosot susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniaga lemang di Kijal menarik nafas lega apabila jualan lemang kembali meningkat seperti biasa.

Zubaidah Ismail, 50, dari Kampung Kijal berkata, dia mampu menjual 40 hingga 80 kilogram (kg) lemang sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

"Alhamdulillah, perniagaan lemang Kijal rancak semula bermula Ramadan lalu.

"Malah lebih meriah sejak PKPP berkuat kuasa seterusnya larangan rentas negeri ditarik balik.

"Ramai pelanggan dari luar yang datang ke negeri ini atau balik ke kampung di Kelantan dan sebagainya singgah membeli lemang di Kijal," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia mengusahakan perniagaan lemang itu lebih 20 tahun lalu dan pertama kali tidak berniaga panjang kerana PKP tetapi mula berniaga semula selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

"Sebelum ini kami tidak boleh berniaga di gerai kerana PKP dan jika ada peniaga lain yang berniaga mereka terpaksa mengikuti SOP disediakan.

"Semua peniaga terjejas teruk dan hilang pendapatan sepanjang PKP berkuat kuasa namun akur dengan arahan yang dikeluarkan untuk kebaikan bersama.

"Mungkin berkat kesabaran kami sepanjang PKP, sekarang perniagaan lemang kembali mendapat sambutan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Rabiah Ismail, 55, dari Kampung Darat Kijal berkata, dia memulakan perniagaannya itu pada seminggu sebelum Aidilfitri.

Katanya, dia berjaya menjual sebanyak 100 kg sehari lemang pada seminggu menjelang hari raya.

"Memang menjadi kebiasaan peniaga lemang meraih pendapatan lebih pada musim perayaan pada setiap tahun.

"Sekarang sebanyak 30 hingga 40 kg lemang terjual sehari berbanding pada hari-hari biasa iaitu 20 kg lemang sahaja," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:11pm
d