mutakhir

7 premis judi dalam talian dipotong bekalan elektrik

Oleh Norsyazwani Nasri

POLIS bertindak memotong bekalan elektrik di tujuh premis dipercayai terbabit di dalam judi atas talian di sekitar bandaraya Kuching petang semalam.

Tujuh premis terbabit terdiri daripada lima kedai menjual aksesori telefon bimbit, satu kedai runcit dan satu pondok kecil.

Operasi Bersepadu itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching bersama dua staf Sarawak Energy Berhad (SESCO) itu dijalankan antara jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, operasi pemotongan dibuat hasil risikan yang mendapati semua premis didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permohonan untuk pemotongan bekalan elektrik jika mempunyai asas dan alasan yang kukuh premis berkenaan menjalankan aktiviti judi atas talian.

"Kita memberi amaran kepada pengusaha dan individu yang terlibat dalam kegiatan ini supaya tidak menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen kerana ia bukan saja menyalahi undang-undang, tetapi boleh mengakibatkan berlakunya 'penyakit sosial' seperti ketagih judidan juga menghancurkan kehidupan kekeluargaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis meminta masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu tampil bagi membantu siasatan.

"Dalan tempoh tiga hari mulai 29 Jun hingga 1 Julai 2020 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching membuat enam serbuan terhadap premis yang disyaki menjalankan perjudian dalam talian membabitkan enam tangkapan iaitu terdiri daripada tujuh lelaki dan seorangdaripadanya adalah warganegara asing.

"Semua tangkapan ini berusia antara 23 hingga 53 tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika disabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman dan siasatan masih dijalankan.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:12pm
d