mutakhir

Denda RM5,000 akibat tikam pergelangan tangan, tumbuk anak

Oleh BERNAMA

SEORANG kontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menikam pergelangan tangan dan menumbuk muka dua anaknya, minggu lalu.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas A Johnson, 50, selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Bagi kesalahan menikam pergelangan tangan, tertuduh didenda RM4,000 atau penjara empat bulan dan bagi pertuduhan menumbuk, lelaki itu didenda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Johnson didakwa dengan sengaja menikam pergelangan tangan anak lelakinya, Winson Raj, 24, menggunakan alat pematri timah iaitu senjata boleh mendatangkan kematian di sebuah rumah di Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 8.45 malam, 27 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Dia turut dituduh dengan sengaja menumbuk muka anak perempuannya, Jerine, 28, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan ketika kejadian dia mabuk.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:16pm
d