mutakhir

Ambil kira kegusaran awam untuk laksana POCA

Oleh BERNAMA

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengambil kira faktor kegusaran awam terhadap samseng jalanan dalam menimbangkan cadangan menggunakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba awam.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, antara kegusaran awam terhadap aktiviti lumba haram diambil kira ialah gangguan dan bahaya aktiviti itu terhadap pengguna jalan raya lain.

"Sekarang kita masih di peringkat idea awal...kita akan teliti dulu kesesuaian, tetapi perlu melihat jika kegusaran awam terhadap samseng jalanan ini sama dengan kegusaran jenayah bila POCA diperkenalkan pada 1959," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan POCA.

Menurutnya, JSPT akan mengetuai proses penelitian cadangan ini termasuk belajar daripada JSJ yang memang berpengalaman dalam menyediakan profil dan kes fail untuk POCA.

Katanya, oleh kerana pelaksanaan POCA membabitkan implikasi perundangan, pihaknya memerlukan masa dalam meneliti hal teknikal berhubung perkara berkenaan.

Semalam, Azisman dilaporkan berkata, JSPT bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram ekoran kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa dan di bawah akta itu, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tindakan POCA terhadap penganjur lumba haram adalah langkah terbaik kerana hukuman biasa seperti denda mampu dibayar mereka yang mengaut keuntungan ribuan ringgit hasil daripada kegiatan haram itu.

Katanya, penggunaan akta berkenaan diyakini dapat mengekang aktiviti haram itu secara lebih menyeluruh selain memastikan pihak berkaitan berfikir dua kali sebelum menganjurkan lumba haram.

"Tindakan POCA boleh mengakibatkan seseorang itu dibuang daerah akan memberi pengajaran keras kepada mereka yang terbabit selain menjadi contoh pencegahan kepada aktiviti haram lain," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:18pm
d