mutakhir

Nasi lama, bekas makanan berkulat

Oleh Zuhainy Zulkiffli

DUA warga Myanmar yang tidak mempunyai permit kerja sah dikesan menyewa kedai makan di Gerbang Sungai Ara, Bayan Lepas untuk menjual roti canai.

Bagaimanapun, kedai berkenaan kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.

Susulan itu, premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini, dalam Operasi Premis Warga Asing yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, dua warga asing itu memegang kad UNHCR dipercayai menyewa premis berkenaan daripada penyewa lain.

"Mereka tiada permit kerja dan menggunakan lesen perniagaan rakyat tempatan. Didapati kedai roti canai beroperasi pada waktu pagi, manakala petang dan malam pula, digunakan penyewa lain bagi menjual masakan Thailand.

"Turut dijumpai ialah nasi yang sudah lama dimasak serta disimpan di dalam periuk di bahagian bawah dapur, namun tidak pasti sama ada ia akan digunakan semula bagi dijual kepada pelanggan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Arahan penutupan sehingga 15 Julai mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, selain menerima empat notis kompaun daripada MBPP yang keseluruhannya berjumlah RM500.

Katanya, kuih-muih yang dijual tidak bertutup dan dihurung lalat, manakala pemeriksaan lanjut di dapur menemukan bekas menyimpan makanan yang sudah berkulat.

Sementara itu, pemeriksaan terhadap kedai runcit di Kampung Batu Maung pula menggaji warga Bangladesh tanpa permit sebagai pembantu kedai.

Mohd Wazir berkata, premis juga didapati menjual 19 barang makanan keperluan dan snek yang sudah tamat tempoh selain makanan tin kemek dianggarkan bernilai RM200.

"Pemilik premis turut diberi tiga notis kompaun daripada MBPP dan satu lagi daripada JKNPP berjumlah RM3,000," katanya lagi.

Operasi itu untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan lesen perniagaan milik warga tempatan yang memberi keizinan kepada warga asing seperti pendatang asing tanpa izin (Pati) berniaga.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:28pm
d