mutakhir

620 individu masih perlu jalani ujian Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 620 individu masih perlu menjalani ujian Covid-19 hari ke-13 di bawah arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang dibenarkan keluar dari pusat kuarantin pada 10 Jun dan diletakkan di bawah HSO adalah seramai 5,804 orang iaitu bagi melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari.

Menurutnya, namun seramai 620 orang masih perlu menjalani ujian Covid-19 hari ke-13 di mana jumlah ini adalah 852 orang kurang daripada jumlah yang dilaporkan pada 29 Jun lalu.

"Selebihnya, iaitu 5,184 orang sudah diberi pelepasan selepas saringan hari -13 didapati negatif.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini.

"Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya, oleh itu, pengembara yang pulang ke Malaysia diseru terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di bawah HSO.

"Ahli keluarga kepada pengembara di bawah perintah ini juga diminta menasihati dan memastikan mereka akur kepada syarat perintah HSO," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:50pm
d