mutakhir

Rugi RM1.2j diperdaya 'ejen' along [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HASRAT seorang ahli perniagaan mahu melangsaikan hutang kepada ceti haram atau dikenali sebagai along terbantut selepas ditipu lelaki mengaku sebagai ejen menyebabkannya kerugian RM1.2 juta.

Ahli perniagaan dikenali sebagai Jefry, 31, berkata, dia meminjam sebanyak RM700,000 melalui 10 along pada 2018 bagi urusan perniagaan bahan pencuci diusahakannya.

"Saya ada menyuarakan hasrat untuk melangsaikan semua hutang itu kepada seorang rakan sebelum dia memperkenalkan seorang lelaki yang menjadi orang tengah bagi membantu menyelesaikan hutang terbabit dengan mengurangkan jumlah tunggakan serta kadar faedah.

"Hasil perbincangan dengan ejen terbabit, saya bersetuju menyerahkan bayaran RM700,000 iaitu jumlah pinjaman asal tanpa sebarang kadar faedah kepadanya secara berperingkat bermula Oktober tahun lalu.

"Malah, saya turut memberikan upah secara berperingkat kepada ejen terbabit sepanjang tempoh itu sehingga mencecah RM500,000," katanya yang membuat aduan di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Jefry berkata, dia menyedari ditipu ejen berkenaan selepas ada beberapa along datang mencarinya dan memaklumkan mereka tidak menerima sebarang pembayaran daripada lelaki berkenaan.

Katanya, apabila perkara ini ditanya kepada lelaki itu, dia memberikan pelbagai alasan termasuk meminta memberi masa untuk menyelesaikan masalah terbabit.

"Saya mahu menyelesaikan hutang along kerana tidak mahu lagi terjebak dengan bebanan hutang banyak, namun ini pula terjadi (ditipu).

"Sehubungan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Sentul berhubung perkara itu, semalam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pelbagai cara digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan termasuk menyamar sebagai ejen.

"Kami sedia maklum mengenai modus operandi golongan ini yang menyamar sebagai ejen kononnya mampu menyelesaikan masalah dihadapi peminjam along dengan menawarkan bayaran balik sedikit berbanding jumlah hutang.

"Sebaliknya, mereka hanyalah penipu dan mengambil kesempatan terhadap mereka dalam kesusahan dengan mengambil keuntungan 'atas angin' tanpa melakukan sebarang rundingan dengan along.

"Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah individu mengaku sebagai ejen ini kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah pinjaman wang kepada along," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 5:58pm
d