mutakhir

Memperkasa integriti Kastam agenda utama USD

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

UNIT Siasatan Dalaman (USD) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditubuhkan 1 Januari tahun lalu akan diperkemas dan diperluaskan dalam usaha menangani masalah penyeludupan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, USD mempunyai objektif serta fungsi tertentu.

"Unit ini akan melaporkan secara terus mengenai gerak kerja mereka kepada Ketua Pengarah dan saya sendiri berkenaan komponen yang sudah ditetapkan.

"Perlu ditegaskan di sini fungsinya bukan merangkumi kepada tindakan dalam kalangan anggota tetapi merangkumi salah laku, penyelewengan dan penyeludupan selain daripada tindakan penguatkuasaan biasa," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di Pelabuhan Klang, hari ini.

Ditanya berhubung laporan portal yang mendakwa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meminta unit berkenaan untuk dibubarkan, Johari berkata, pihak tidak menerima maklumat itu.

"Sejak 2019 ditubuhkan banyak pencapaian sudah dikecapi unit ini terutama dalam menumpaskan penyeludupan rokok.

"Walaupun orang luar nampak tindakan unit ini bertindan dan berlapis dengan jabatan lain tetapi ia perlu segera diambil tindakan jika menerima sebarang aduan berkaitan penyeludupan.

"Kita ada perancangan mengembangkan lagi USD ini sebagai sub sektor jabatan di mana setiap daripadanya ada fungsi dan peranan tertentu," katanya.

Pada tahun lalu, JKDM menjelaskan penubuhan unit berkenaan tidak membabitkan penambahan perjawatan sebaliknya ditubuh secara Task Force iaitu secara pentadbiran.

Oleh itu, kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak diperlukan sehingga Task Force berkenaan dijadikan sebuah cawangan yang rasmi dalam jabatan.

USD ditubuhkan sebagai satu langkah jabatan menjalankan siasatan terhadap laporan atau dakwaan yang diterima termasuk maklumat risikan dalaman atas aktiviti penyeludupan oleh mana-mana pihak atau sindiket termasuk pembabitan pegawai jabatan.

Unit ini bertindak atas laporan serta dakwaan yang diterima dan siasatan awal secara menyeluruh dijalankan sebelum sesuatu tindakan diambil dan iamengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

JKDM mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan unit itu untuk memastikan integriti semua pihak yang terbabit dengan urusan perkastaman termasuk pegawai jabatan berada pada tahap yang tinggi dan selari dengan dasar kerajaan yang tidak berkompromi dengan amalan rasuah.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 6:55pm
d