mutakhir

Polis cedera kenderaan terbabas, langgar pokok

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS cedera di kepala, muka dan kaki akibat tersepit selepas Perodua Alza dipandu terbabas dan melanggar pokok di Jalan Alor Pudak, Pendang, hari ini.

Kejadian berlaku pada 1.45 petang ketika Sarjan Wan Muhammad Firdaus Wan Din, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dalam perjalanan dari Wisma Persekutuan di Alor Setar hala ke Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, Wan Muhammad Firdaus dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar depan kenderaannya pecah menyebabkan terbabas dan berpusing sebelum melanggar pokok.

"Mangsa tersepit dikeluarkan bomba sebelum dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya dimaklum kejadian pada 1.50 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pendang ke lokasi.

"Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan ia mengambil masa 10 minit. Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital," katanya.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada 3.04 petang.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 7:09pm
d