mutakhir

PM bangga kerjasama rakyat Malaysia perangi Covid-19

Oleh Rohaniza Idris

TAN Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

Perdana Menteri turut mengucapkan kesyukuran apabila buat pertama kali semalam, negara mencatatkan kes harian Covid-19 terendah dengan satu kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

"Syabas dan jutaan terima kasih kepada 'frontliners' yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

"Pada masa sama, saya berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama sangat baik dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan," katanya dalam satu catatan di Facebook (FB) rasminya, hari ini.

Muhyiddin berkata, aliran penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan satu angka sejak kebelakangan ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai wabak Covbid-19 serta pematuhan SOP semakin tinggi.

"Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Malaysia. Ya, perkembangan positif ini sememangnya membuatkan kita sangat teruja dan bangga.

"Namun, jangan pula merasa terlalu selesa sehingga kita alpa dan lalai dalam usaha kita mengawal jangkitan Covid-19 ini," katanya.

Beliau turut mengingatkan dan menegaskan supaya rakyat terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP ditetapkan pada setiap masa walau di mana pun mereka berada.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita semua adalah 'frontliners'.

"Kita semua memikul tanggungjawab sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti dan negara daripada wabak ini.

"Insya-Allah, saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi Covid-19.

"Saya berbangga dengan anda semua. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 7:44pm
d