mutakhir

Buaya di Sungai Kesang bakal jadi produk pelancongan

Oleh BERNAMA

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka sedang menjalankan kajian dan tinjauan terperinci bagi melaksanakan pembangunan Mini Santuari Buaya di Sungai Kesang, Jasin yang kini menjadi tumpuan ramai kerana keindahan dan kejernihan air sungainya.

Pengarah Perhilitan Melaka Mohd Hasdi Husin berkata, projek itu dilihat berpotensi menjadi antara produk eko pelancongan terbaharu yang mampu menarik pelancong ke Melaka dan cadangan itu dikemukakan ke Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka sebelum ini.

Beliau berkata, cadangan itu dijangka mampu dilaksanakan dengan mudah dan cepat sekiranya mendapat kerjasama kerajaan negeri kerana pihaknya sedia membantu dari segi kepakaran.

"Potensi pembangunan projek ini masih dalam kajian kerana kita perlu melihat daripada pelbagai aspek, antaranya jumlah buaya di Sungai Kesang walaupun bilangannya tidak banyak seperti di Sungai Linggi.

"Kita akan menelusuri terlebih dahulu Sungai Kesang untuk melihat kesan seperti habitat atau kehadiran buaya lain di sepanjang sungai itu," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Hasdi berkata pihaknya turut mengambil kira kos untuk melaksanakan pembangunan Mini Santuari Buaya di sungai itu.

Sungai Kesang, yang menjadi 'garis sempadan' antara Jasin, Melaka dan Tangkak, Johor, tular di media sosial baru-baru ini kerana airnya yang jernih kebiruan sehingga menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk merakam gambar sambil mandi-manda.

Mohd Hasdi juga berkata pihaknya sedang melaksanakan audit terperinci bagi mengenal pasti masalah atau keperluan yang perlu dilaksanakan pengurusan Zoo Melaka dalam usaha menjadikan produk pelancongan itu sebagai destinasi pilihan pelancong yang berkunjung ke negeri itu.

"Kerjasama Perhilitan dengan Zoo Melaka untuk menjalankan pemantauan memang telah lama terjalin khususnya sebelum pusat haiwan itu diserahkan kepada pihak swasta untuk diuruskan.

"Namun selepas kerajaan negeri mengambil alih semula pengurusan Zoo Melaka, kita akan melakukan pemantauan daripada pelbagai aspek membabitkan Zoo Melaka, haiwan yang terdapat di sana dan bekalan makanan untuk haiwan setiap bulan," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, pihaknya turut membantu pihak pengurusan Zoo Melaka mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi untuk haiwan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 8:32pm
d