mutakhir

Harapan penduduk Chini

Oleh BERNAMA

PENGUNDIAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini esok bakal memilih wakil rakyat baharu, yang akan bertanggungjawab memastikan masyarakat di kawasan Felda, yang meliputi 82 peratus kawasan berkenaan, serta kampung tradisional dan kampung Orang Asli di DUN itu, terus dibela.

Sebagai kawasan yang dikategorikan luar bandar, terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari Pekan, cabarannya agak hebat untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini yang baharu untuk melihat kepada keseimbangan keperluan antara generasi lama dan baharu, yang dilihat biasa di mana-mana kawasan, tetapi sedikit berbeza jika membabitkan kawasan Felda dan sekitarnya.

Sebagai kawasan perladangan, isu tanah dan perumahan bukan masalah buat generasi lama Felda tetapi bukan untuk generasi kedua yang sukar mendapat tanah selain mengharapkan kemudahan lebih baik.

Sementara, penduduk kampung tradisional dan kampung orang Asli pula merasakan mereka kurang bernasib baik berbanding masyarakat Felda.

Penduduk Felda Chini 5, Wan Chik Mat, 69, berkata, selain menjaga kepentingan golongan lama, dia lebih melihat kepada masa depan anak-anak, memerlukan wakil rakyat yang dapat membawa peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat, supaya anak muda tidak perlu merantau jauh atau berhijrah.

Katanya, ia boleh diwujudkan dengan pelbagai cara, contohnya pembangunan projek seperti kilang atau memberi galakan bagi penyertaan dalam bidang pertanian yang mungkin semakin kurang diminati.

"Peluang pekerjaan adalah penting, supaya mereka yang tiada pekerjaan tidak terbabit dalam masalah sosial atau lebih buruk melakukan jenayah," katanya kepada Bernama.

Siti Hasmiza Adenan, 28, dari Felda Chini 2 pula berkata, masalah perumahan generasi kedua peneroka Felda pula perlu diberi perhatian oleh wakil rakyat baharu kelak.

Katanya, ini kerana ramai anak peneroka Felda yang sebenarnya berminat untuk tinggal di kawasan tanah rancangan ini, namun kekurangan perumahan membuatkan mereka terpaksa berhijrah.

"Jika tidak berhijrah, mereka terpaksa tinggal dengan ibu bapa atau adik beradik lain, yang mana keadaan itu tidak bersesuaian jika mereka sudah berumah tangga," katanya.

Keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan turut dinyatakan peniaga Mohd Khairy Barderin, 28, yang mencadangkan aktiviti pelancongan di Tasik Chini diberi nafas baharu bagi tujuan itu.

Beliau berkata, pihak pengurusan Felda boleh mempromosikan pelbagai program latihan dan kemudahan pinjaman khusus bagi generasi kedua peneroka Felda, untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

"Sebenarnya banyak program latihan dan kemudahan pinjaman seperti itu tetapi disebabkan ramai tidak mengetahuinya, ia tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berminat untuk berniaga," katanya.

Bagi Zainal Abidin Ahmad, 80, dari Kampung Batu Balik, sebuah kampung tradisional dekat sini, bagi golongan sepertinya, keperluan kemudahan kesihatan yang dipertingkatkan menjadi harapannya agar dilaksanakan oleh wakil rakyat baharu nanti.

Katanya, dia kini membuat pemeriksaan dan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan yang terletak kira-kira 20 km dari rumahnya, yang baginya agak jauh kerana faktor usianya.

"Saya dan kira-kira 500 penduduk di sini berharap Adun baharu ini nanti akan dapat memikirkan bagaimana kami boleh memperoleh perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan lebih mudah untuk dikunjungi," katanya.

Sementara itu, dalam soal pembangunan di kampung Orang Asli, beberapa kawasan mungkin mempunyai kemudahan yang agak baik apabila penduduknya ramai, namun masalah mungkin timbul di kawasan kurang berpenduduk.

Jadi Adun Chini yang baharu perlu melihat kepentingan mengimbangi keperluan antara golongan lama dan muda serta kepentingan tiga perkampungan di Dun itu.

Pengundian PRK Dun Chini esok membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal dengan pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah adalah majoriti iaitu mewakili 56 peratus.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 8:22am
    d