mutakhir

Tak sempat pulang ke negara asal

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

CUBAAN 24 individu termasuk tiga wanita pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan seorang tekong warga tempatan keluar dari negara ini mengundang padah apabila ditahan pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) di Sungai Rengit, Johor, malam tadi.

Mereka ditahan pasukan 61 RAD, yang sedang melaksanakan Op Merpati 1, di sektor Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di kawasan Tanjung Ayam, Sungai Rengit, pada 10.30 malam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam kenyataan berkata, Pati yang ditahan dipercayai sedang dalam perancangan untuk pulang ke negara asal.

Menurutnya, mereka ditahan semasa pasukan 61 RAD, diketuai Kapten Amirul Zubir Mohammad Naim, sedang melakukan rondaan keselamatan menerima maklumat dari pasukan Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung terdapatnya pergerakan Pati.

"Hasil maklumat pasukan 61 RAD melakukan serbuan dan menahan mereka termasuk lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai tekong yang membawa Pati berkenaan.

"Turut dirampas kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dipercayai digunakan untuk membawa kesemua Pati terbabit," katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut selain diarah untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Bandar Penawar, pagi ini.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 9:05am
d