mutakhir

Rebut baucar beli-belah lebih RM10,000

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

BAGI menghargai sokongan pelanggan, Kumpulan Suria KLCC melancarkan kempen Tiket Emas yang menawarkan ganjaran hebat bagi setiap perbelanjaan minimum di Suria KLCC, Pusat Beli-Belah Alamanda dan Mesra Mall.

Pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM300 di Pusat Beli-Belah Alamanda, manakala RM150 di Suria KLCC dan Mesra Mall dalam dua resit dari mana-mana kedai terpilih bagi melayakkan mereka untuk memilih beg bertuah berisi sampul sama ada Tiket Emas atau Tiket Ungu.

Sekiranya anda memenangi Tiket Emas, anda layak membawa pulang baucar beli-belah bernilai RM5,000 (Suria KLCC), RM1,000 (Alamanda) dan RM1,500 (Mesra Mall).

Selain itu, anda juga akan diraikan dengan kesempatan bergambar di Wall of Winners eksklusif di Centre Court pusat beli-belah masing-masing selain ditemuramah serta dipaparkan di platform media sosial Kumpulan Suria KLCC.

Untuk pemenang Tiket Ungu pula, anda layak menerima baucar beli-belah bernilai RM50 (Suria KLCC), RM50 (Alamanda) dan RM30 (Mesra Mall).

Bukan itu saja, Suria KLCC turut menawarkan dua baucar beli-belah bernilai RM5,000 pada setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad) sepanjang tempoh kempen ini berlangsung bagi memastikan kempen kali ini lebih bermakna.

Pastikan pelanggan nikmati pengalaman hebat

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Andrew Brien, berkata pihaknya sentiasa berusaha mencari inspirasi baharu bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman hebat apabila berbelanja di pusat beli-belah mereka.

"Kali ini, kami menjanjikan ganjaran yang besar untuk mereka. Kami percaya dengan kempen cabutan Tiket Emas ini, kami dapat meneruskan usaha untuk sentiasa memberikan ganjaran serta pengalaman membeli belah terbaik kepada pelanggan di atas sokongan berterusan," katanya.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pembeli, Kumpulan Suria KLCC turut mengamalkan norma baharu setiap masa sepanjang durasi kempen.

Cecair pembasmi kuman akan disediakan di lokasi strategik dan mudah akses untuk pembeli sebelum mendaftar di kaunter pertanyaan serta sebelum dan selepas mencabut tiket bertuah. Peserta juga perlu mematuhi amalan penjarakan sosial dan bekerjasama dengan kakitangan yang bertugas.

Kempen Tiket Emas ini akan berlangsung mengikut tarikh berbeza seperti berikut:-

  • Suria KLCC - 19 Jun hingga 12 Julai 2020 (terhad untuk 100 pembeli setiap hari)
  • Pusat Beli-Belah Alamanda - 19 Jun hingga 19 Julai 2020 (terhad untuk 101 pembeli setiap hari)
  • Mesra Mall - 19 Jun hingga 18 Julai 2020 (terhad untuk 51 pembeli setiap hari)

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Tiket Emas, hubungi kakitangan di kaunter pertanyaan atau layari laman web Suria KLCC, Pusat Beli-Belah Alamanda dan Mesra Mall.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 9:34am
d