mutakhir

20 kematian akibat denggi di Johor

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 20 kematian dilaporkan akibat denggi di Johor, sejak awal tahun ini hingga 27 Jun lalu, berbanding 15 kes kematian pada tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, mengikut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, sebanyak 5,107 kes demam denggi dilaporkan sehingga 27 Jun lalu, berbanding 5,142 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, walaupun berlaku penurunan tetapi ia tidak signifikan kerana terdapat peningkatan kes kematian yang ketara.

"Sebanyak 34 lokaliti wabak baru dilaporkan pada minggu Epid 26, menjadikan jumlah wabak aktif semasa sebanyak 91 lokaliti.

"Daerah paling tinggi melaporkan kes adalah Johor Bahru (80.2 peratus), diikuti Kulai (3.9 peratus), Kluang (3.7 peratus), Segamat (3.3 peratus), selain Batu Pahat (2.4 peratus), Mersing (2.1 peratus), Kota Tinggi (1.4 peratus), Muar (1.1 peratus), Pontian (0.9 peratus) dan Tangkak (0.9 peratus).

"Faktor penyumbang utama kejadian demam denggi di Johor adalah pengabaian aspek kebersihan persekitaran khususnya tabiat pembuangan sampah tidak teratur dan sempurna, yang menyumbang kepada bekas berpotensi membiak nyamuk aedes.

"Masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekeliling rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu memastikan tiada tempat takungan yang boleh menjadi pembiakan aedes dengan memeriksa persekitaran rumah sendiri.

Katanya, luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti Cari dan Musnah Aedes.

"Sekiranya terdapat pembiakan aedes di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000.

"Selain itu, masyarakat juga perlu turut serta dalam usaha pemusnahan aedes menerusi program komuniti yang menjadi sebahagian daripada Kempen Perangi Denggi Johor.

"Segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kerana sebarang kelewatan boleh membawa maut.

"Pada masa sama, jabatan kesihatan juga berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat tepat dari sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu informasi," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 9:50am
d