mutakhir

KKM tetapkan fi ujian Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

KERAJAAN melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan fi ujian pengesanan penyakit Covid-19 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (Covid-19) 2020 yang berkuat kuasa pada 29 Jun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah fi mengikut jenis ujian dan berbeza antara warganegara serta bukan warganegara

Katanya, fi untuk ujian tindak balas berantai polimerase adalah RM150 bagi warganegara dan RM250 bagi warga asing, manakala fi kit ujian pantasantigen (RM60 warganegara; RM120 warga asing), fi kit ujian pantas antibodi (RM30 warganegara; RM60 warga asing).

"Warganegara Malaysia daripada golongan yang layak dikecualikan daripada fi adalah pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi dan hendaklah mengemukakan surat arahan rasmi berhubung perkara itu sebagai bukti.

"Pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai.

"Orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara dan hendaklah mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, penuntut warganegara Malaysia sama ada persendirian atau mempunyai penajaan yang pulang dari luar negara kali pertama juga dikecualikan fi namun penuntut itu perlu mengemukakan bukti pengajian.

Katanya, warganegara atau warga asing yang memasuki Malaysia hendaklah membayar fi ini sebelum mendapat pelepasan imigresen di pintu masuk negara.

Selain itu, katanya, warganegara atau warga asing di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan virus itu.

Menurutnya, ujian pengesanan Covid-19 itu menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

"Manakala ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan daripada perintah itu pada hari ke-14.

Beliau berkata, KKM sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 11:35am
    d