mutakhir

MAPS mungkin dibuka semula

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN Perak kini sedang giat menarik beberapa pelabur dalam mengambil alih pengurusan Taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dan merancakkan semula taman tema itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, taman tema berkenaan mempunyai harapan untuk dibuka semula dan pihak yang berkaitan kini sedang mencari operator untuk mengambil alih.

"Memang harapannya begitu (dibuka semula) tetapi sekarang ia di bawah proses pencairan aset dan mereka cuba mencari operator untuk mengambil alih pengurusan.

"Jadi ada harapan MAPS untuk dibuka semula, tetapi ianya bukan di bawah kerajaan negeri lagi tetapi di bawah syarikat swasta," katanya selepas merasmikan Pameran Promosi Perak sebagai 'Green State' di Ipoh, hari ini

Turut hadir, Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (MICA), Datuk Dr Angie Ng Wai Sam; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Resort Hotel, Peter Chan.

Nolee Ashilin berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat menetapkan jangkamasa pembukaan semula taman tema berkenaan.

NSTP sebelum ini melaporkan MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta ditutup 28 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini sebanyak 24 hotel di negeri sudah mendapat sijil kelulusan kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan melalui Garis Panduan Amalan Terbaik Produk Pelancongan Negeri Perak.

"Dalam tempoh dua minggu ini kita memberi fokus kepada hotel dan selepas ini pensijilan akan diteruskan kepada rumah inap dan lain-lain.

"Melalui SOP kita berharap pemain industri menggunakan konsep pelancongan normal baharu dapat memberi perkhidmatan terbaik dan memastikan pelancong berasa selamat untuk melancong di negeri ini," katanya.

Sementara itu, MICA memperkenalkan konsep pelancongan normal baharunya 'friend, family, fun freebie (Foliday).

"Ini adalah berbeza daripada konsep pelancongan yang kita mempromosikan sebelum ini dan kita jadikan penanda aras untuk kejayaan industri pelancongan negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 1:59pm
d