mutakhir

Panggil semula 100 saksi kes Adib - Zuraida

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil semula semua saksi kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi mengesan pembunuh sebenar anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, siasatan semula secara menyeluruh perlu dilakukan bagi membawa pelaku sebenar jenayah berkenaan ke muka pengadilan.

"Kes Adib sudah disahkan sebagai kes jenayah dan bukannya kemalangan. Bagaimanapun, hasil siasatan polis sebelum ini tidak dapat mengesan pelaku sebenar.

"Apabila kes ini dibuka semula, saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat meneliti semula dan bertemu dengan lebih 100 saksi yang berkaitan kes ini dan berharap penjenayah sebenar dapat ditemui kali ini," katanya selepas melawat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di Melaka hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November 2018.

Dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Rabu lalu, polis mengesahkan akan melengkapkan siasatan dan menyelesaikan arahan yang dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya membabitkan Allahyarham Muhammad Adib selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematiannya adalah kerana perbuatan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kes itu dalam tindakan dan akan dihantar semula kertas siasatan serta berbincang dengan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 2:41pm
d